Sunday, September 21, 2008

Lebih Ramai Ahli SAPP Dijangka Sertai Parti Komponen BN - Lajim

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Ketua Umno bahagian Buefort Datuk Seri Panglima Lajim Ukin percaya lebih ramai anggota Parti Maju Sabah (SAPP) termasuk dari kawasannya yang akan keluar daripada parti itu dan menyertai parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Buefort berkata keyakinannya berhubung perkara itu adalah berdasarkan maklumat yang diperolehinya daripada sumber-sumber di Sabah.

Semalam kira-kira 2,000 anggota dari 15 Cawangan SAPP di Tanjung Papat, Sabah mengumumkan keluar dari parti itu sebagai menyokong pendirian Timbalan Presiden SAPP Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang tidak bersetuju dengan keputusan Majlis Tertinggi SAPP untuk keluar dari BN.

"Dengan tindakan itu, SAPP Tanjung Papat kini hanya mempunyai satu cawangan iaitu Slipway di kawasan Bandar Sandakan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Kawasan SAPP Tanjung Papat, Poon Kee Yang," kata Lajim kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya tentang bilangan anggota SAPP yang dijangka meninggalkan parti itu selepas ini pula, Lajim berkata, "Saya tak tahu berapa sebab dia (SAPP) hanya ada empat kerusi Dewan Undangan Negeri dan 2 kerusi Parlimen."

Rabu lalu Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee mengumumkan parti itu keluar daripada BN berkuat kuasa serta merta kerana antara lain mendakwa BN telah hilang "semangat BN."

Terdahulu, Lajim yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan menyampaikan 50 hamper dan duit raya kepada pesakit wad ortopedik Hospital Kuala Lumpur, hasil sumbangan Persatuan Pemilik Kenderaan Bermotor Malaysia (MOVA) yang beliau menjadi penaungnya.

Dalam perkembangan lain, Lajim berkata jumlah kemalangan jalan raya ketika musim perayaan sukar untuk dikurangkan jika pengguna jalan raya tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Kini had laju maksimum kenderaan di jalan Persekutuan dan negeri di seluruh negara yang dibenarkan adalah antara 60 dan 90 km/j mengikut kawasan-kawasan tertentu.

-- BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Kenapa tak masuk PKR macam bos diorang agaknye yer.. he he he