Monday, September 22, 2008
Raymond Tan Kekal Dalam Kabinet Sabah Sementara Menunggu Keputusan Ketua Menteri

KOTA KINABALU, 22 Sept (Bernama) -- Datuk Raymond Tan Shu Kiat, yang menganggotai Parti Maju Sabah (SAPP) yang keluar daripada Barisan Nasional (BN), akan kekal sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah sementara menunggu status beliau diputuskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Tan berkata beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Musa hari ini tetapi diberitahu oleh Musa supaya terus memegang kedua-dua jawatan itu sementara menunggu beliau membuat keputusan.
Semalam, Musa berkata beliau mahu membincangkan perkara itu dengan parti komponen BN.
"Saya telahpun menyerahkan surat saya. Bagaimanapun beliau (Musa) sebenarnya menasihati saya bahawa saya sepatutnya mengelak perkataan 'peletakan jawatan'. Saya menjelaskan kepada beliau situasi yang saya hadapi sekarang.
"Musa memberitahu saya, saya masih Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur hingga tiba masa untuk beliau membuat keputusan," kata Tan kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Musa di pejabatnya di Wisma Innoprise, di sini.
Tan berkata beliau menyerahkan kepada budi bicara Musa sebagai Ketua Menteri untuk memutuskan kedudukannya dan beliau menerima apa jua keputusan dengan hati terbuka.
Tan berkata kedudukannya pada masa ini agak pelik dan Musa tidak mahu ia dilihat seperti beliau berundur daripada semua jawatan, seperti yang beliau diarah untuk melakukan oleh Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee.
"Beliau meminta saya supaya meneruskan kerja. Dalam kedudukan saya pada masa ini, anda mungkin dapat membaca, dalam kes saya, sama ada terdapat calon bebas BN, bebas dalam maksud tidak terikat dengan mana-mana parti komponen," kata beliau.
Tan berkata sungguhpun SAPP keluar daripada BN, beliau dan mereka yang berkenaan masih dianggap sebagai wakil rakyat BN melainkan ada yang membuat keputusan untuk menyertai parti lain.
"Saya sebenarnya ada beberapa perjumpaan di pejabat saya dengan ketua-ketua jabatan, untuk memberitahu mereka apa jua perkembangan dalam konteks politik. Saya tidak mahu ada kerja di jabatan yang terhenti.
"Saya tegaskan bahawa kita akan mencapai sasaran daripada segi projek yang sudah dirancang untuk tahun ini," katanya.
Ditanya sama ada Musa menasihati beliau supaya bercuti, Tan menjawab: "Tidak, saya tidak akan bercuti, saya ada banyak kerja untuk dibuat."
Katanya dalam pertemuan ringkas itu, yang mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit, beliau dan Musa turut membincangkan isu pendatang asing tanpa izin yang dibangkitkan oleh SAPP, dan isu levi pekerja yang dianggap sebagai membebankan majikan dalam pengambilan pekerja.
Mengenai sama ada mereka turut berbincang mengenai pembentukan sebuah parti baru, beliau berkata perkara itu tidak dibincangkan.
Terdahulu, Tan menyertai Musa pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada pasukan keselamatan di sini.
Musa, ketika ditemui di majlis itu, mengulangi bahawa beliau akan berbincang dengan parti komponen BN sebelum memutuskan status Tan tetapi berkata ia akan mengambil masa.
"Kami bukanlah tergesa-gesa untuk mengambil tindakan. Saya tidak boleh membuat keputusan sekarang," kata Musa, sambil menambah sehingga masa itu tiba, Tan akan terus kekal dalam Kabinet.
-- BERNAMA
Sunday, September 21, 2008
Ku Li: Sukar bagi Anwar untuk tubuh kerajaan
KUALA LUMPUR: Adalah sukar bagi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan sebuah kerajaan ekoran kesukaran parti itu bekerjasama dengan DAP berbanding PAS, kata Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.Beliau berkata perbezaan ketara dalam dasar dan ideologi antara parti-parti ini merupakan masalah terbesar Anwar dalam usaha mewujudkan satu pakatan yang benar-benar mantap antara mereka.
"Saya rasa sukar bagi Anwar kerana DAP adalah rakan baik semasa pilihan raya, tapi apabila dasar dan ideologi mereka diambil kira, saya rasa Anwar tidak akan berjaya.
Bagaimana hendak tadbir Malaysia dengan wujudnya dua ideologi dan dasar yang berbeza," katanya pada sesi dialog dengan pengendalipengendali blog di rumahnya di sini hari ini.
Katanya Anwar yang dilantik ketua pembangkang di Parlimen perlu membuktikan dakwaannya bahawa beliau mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan, dan Barisan Nasional (BN) sudah kehilangan majoriti.
"Bila dia (Anwar) mendakwa memiliki jumlah itu (Anggota Parlimen yang menyertai Pakatan Rakyat), dia perlu membuktikannya, tapi dia gagal berbuat demikian, dia ini pandai buat tawaran yang dianggap popular kepada mereka yang mempercayainya," katanya.
Anwar yang memenangi pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lepas mendakwa beliau sudah memiliki jumlah anggota parlimen yang cukup untuk menubuhkan kerajaan baru namun tidak menyatakan senarai nama anggota parlimen itu.
Tengku Razaleigh berkata Anwar berharap untuk menarik sokongan orang ramai terhadap agendanya untuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
"Sebab itu ada penyokong di kalangan parti Gerakan, MCA, MIC tertarik dengan tawaran dia. Ini memang menjejaskan BN. Pada pilihan raya lalu (8 Mac) BN kalah di banyak tempat. Selain dari itu, ada juga isu-isu yang lain," katanya.
Beliau berkata negara akan menghadapi keadaan yang buruk sekiranya Anwar menerajui kerajaan disebabkan banyak perbezaan dasar dan ideologi antara pelbagai parti dalam Pakatan Rakyat. BERNAMA
DAP syor sidang khas Parlimen 29 September
KUALA LUMPUR: DAP mengakui langkah Pakatan Rakyat mengharapkan sidang khas Parlimen Selasa ini "sangat mustahil", lebih-lebih lagi selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menolak permintaan pembangkang itu pada hari yang sama Khamis lalu. Sambil melahirkan hakikat itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mengesyorkan agar sidang khas Parlimen diadakan 29 September.
Bagaimanapun beliau enggan menyatakan sama ada 29 September boleh dianggap sebagai tarikh akhir yang baru bagi merealisasikan hasrat Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan.
"Saya mengesyorkan agar permintaan Anwar supaya diadakan mesyuarat khas Parlimen dibincangkan di Kabinet Rabu ini dan diluluskan agar kita boleh mengadakan sidang khas pada 29 September," katanya di sini.
Pada Khamis lalu, Abdullah menolak cadangan untuk diadakan sidang khas Parlimen seperti yang digesa Anwar, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.
"Saya tidak nampak apa perlunya untuk diadakan, sebab Parlimen akan kembali bersidang tak lama lagi selepas habisnya bulan Ramadan.
"Jadi gunakan masa itu untuk buat apa pun," kata Abdullah.
Anwar mahu satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membolehkan pembangkang membuat usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Menurut Lim, sidang khas berkenaan boleh menentukan sama ada Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional (BN) yang mempunyai majoriti di Parlimen.
Katanya, Pakatan Rakyat akan menerima hakikat jika BN membuktikan ia benar-benar mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk kekal berkuasa.
"Jika Pakatan mempunyai majoriti (anggota Dewan Rakyat), maka saya meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara aman dan demokratik menerima Anwar sebagai Perdana Menteri yang baru," kata Lim.
Lim menambah, Pakatan Rakyat mahu perkara tersebut diselesaikan secepat yang mungkin sebelum Aidilfitri dan tidak perlu menunggu sehingga Parlimen bersidang pada 13 Oktober ini.
Umno cabar Anwar umum 48 jam nama MP BN setuju lompat
PETALING JAYA: Umno mencabar Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengumumkan nama-nama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwa telah menyatakan sokongan untuk melompat ke perikatan pembangkang itu. "Nampaknya drama Penasihat (Parti Keadilan Rakyat) PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin hari semakin tidak ada penghujungnya.
"Sepatutnya ‘drama’ tersebut berakhir pada 16 September lalu, tapi nampaknya kena disambung lagi. Itupun tidak tahu bila?" kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib hari ini.
Pada 1 April lalu, Anwar mengumumkan pembentukan Pakatan Rakyat dan sekali gus menetapkan 16 September sebagai tarikh membentuk kerajaan baru persekutuan.
Bagaimanapun Isnin lalu, Anwar hanya mengumumkan pihaknya sudah ada cukup anggota untuk mengambil alih kerajaan persekutuan dan mahu menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi tujuan peralihan kerajaan secara lancar dan aman.
Abdullah telah menolak permintaan itu dan satu lagi permintaan Pakatan Rakyat, yang mahu Parlimen mengadakan sidang khas pada Selasa ini - yang hanya boleh dibuat dengan arahan Perdana Menteri.
Malah, Abdullah juga telah meminta supaya Anwar dan Pakatan Rakyat mengumumkan nama-nama Ahli Parlimen BN yang telah pun menyatakan sokongan kepada mereka.
Oleh itu, kata Muhammad yang juga anggota Kabinet, bagi menamatkan ‘drama’ tersebut, beliau memberi tempoh 48 jam kepada Anwar untuk umum atau mendedahkan nama-nama Ahli Parlimen BN yang kononnya telah bersetuju menyertai pembangkang.
"Tempoh 48 jam itu bermula semalam, Sabtu dan menjelang Isnin jika benar ada Anwar perlu mengumumkan nama-nama tersebut," katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu memberitahu, Anwar terus memainkan sentimen rakyat dengan menggembar-gemburkan isu Pakatan Rakyat akan mengambil alih Kerajaan Pusat, sedangkan "ia hanyalah lakonan semata-mata."
"Kita cabar siarkan dalam tempoh 48 jam ini, siarkan kalau betul ada angka seperti mana yang dia dakwa, apa dia nak takut-takut," kata beliau dalam blognya hari ini.
Muhammad mengakui, memang Umno dan BN tidak menafikan ada seorang dua yang akan menyertai Pakatan Rakyat tetapi jumlah itu tidak sehingga parti pembangkang boleh mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan.
"Saya ingat yang nak ‘lompat’ pun dua tiga orang sahaja daripada parti yang telah mengumumkan keluar daripada BN, yang lain tak ada.
"Ada pula timbul cerita, kononnya Anwar akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri jika mendedahkan nama-nama ahli BN terbabit merupakan satu lagi gimik Penasihat PKR itu sambil menyifatkannya seperti ‘macam budak-budak’," katanya lagi.
Sehubungan itu kata Muhammad, beliau berharap rakyat dapat menilai sendiri tindak-tanduk Anwar yang terus menggambarkan keadaan ekonomi dan politik negara ini sedang bergolak sehingga boleh melemahkan serta mencemarkan imej negara.
Tegasnya, rakyat perlu berhenti daripada melihat ‘drama’ dan mempercayai pelbagai spekulasi yang dibangkitkan pembangkang terutamanya Anwar dan memberi kepercayaan kepada kerajaan BN untuk memimpin negara ini selepas diberi mandat sekali lagi pada pilihan raya Mac lalu.
Lebih Ramai Ahli SAPP Dijangka Sertai Parti Komponen BN - Lajim
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Ketua Umno bahagian Buefort Datuk Seri Panglima Lajim Ukin percaya lebih ramai anggota Parti Maju Sabah (SAPP) termasuk dari kawasannya yang akan keluar daripada parti itu dan menyertai parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.Beliau yang juga Anggota Parlimen Buefort berkata keyakinannya berhubung perkara itu adalah berdasarkan maklumat yang diperolehinya daripada sumber-sumber di Sabah.
Semalam kira-kira 2,000 anggota dari 15 Cawangan SAPP di Tanjung Papat, Sabah mengumumkan keluar dari parti itu sebagai menyokong pendirian Timbalan Presiden SAPP Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang tidak bersetuju dengan keputusan Majlis Tertinggi SAPP untuk keluar dari BN.
"Dengan tindakan itu, SAPP Tanjung Papat kini hanya mempunyai satu cawangan iaitu Slipway di kawasan Bandar Sandakan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Kawasan SAPP Tanjung Papat, Poon Kee Yang," kata Lajim kepada pemberita di sini hari ini.
Ditanya tentang bilangan anggota SAPP yang dijangka meninggalkan parti itu selepas ini pula, Lajim berkata, "Saya tak tahu berapa sebab dia (SAPP) hanya ada empat kerusi Dewan Undangan Negeri dan 2 kerusi Parlimen."
Rabu lalu Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee mengumumkan parti itu keluar daripada BN berkuat kuasa serta merta kerana antara lain mendakwa BN telah hilang "semangat BN."
Terdahulu, Lajim yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan menyampaikan 50 hamper dan duit raya kepada pesakit wad ortopedik Hospital Kuala Lumpur, hasil sumbangan Persatuan Pemilik Kenderaan Bermotor Malaysia (MOVA) yang beliau menjadi penaungnya.
Dalam perkembangan lain, Lajim berkata jumlah kemalangan jalan raya ketika musim perayaan sukar untuk dikurangkan jika pengguna jalan raya tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Kini had laju maksimum kenderaan di jalan Persekutuan dan negeri di seluruh negara yang dibenarkan adalah antara 60 dan 90 km/j mengikut kawasan-kawasan tertentu.
-- BERNAMA
Saturday, September 20, 2008
Kerajaan bincang turun harga minyak Rabu ini

JOHOR BAHARU: Kerajaan dijangka akan membincangkan rancangan untuk menurunkan harga runcit minyak sebelum perayaan Aidilfitri pada mesyuarat kabinet Rabu ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata beliau akan membawa rancangan penurunan harga itu pada mesyuarat kabinet berkenaan untuk diputuskan jemaah menteri.
"Insya-allah, saya perlu bawa rancangan penurunan harga minyak ke kabinet Rabu ini kerana Rabu ini adalah mesyuarat terakhir kabinet sebelum kita berhari raya. Kita akan bincang bila tarikh penurunan dan kadar penurunan yang sesuai," katanya.
Shahrir yang juga anggota Parlimen Johor Baharu berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada keluarga miskin, ibu tunggal dan anak yatim kawasan Flet Sri Stulang, di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan perlu meneliti tarikh penurunan harga minyak kerana penurunan harga dikhuatiri menyebabkan kekurangan bekalan pada musim perayaan ini.
"Kita kena buat penyesuaian kerana kita khuatir segelintir pengusaha stesen minyak tidak mahu mendapatkan bekalan daripada pembekal sekiranya mereka tahu harga akan turun," katanya.
Pada 23 Ogos lepas harga petrol dikurangkan sebanyak 15 sen kepada RM2.55 seliter daripada RM2.70. BERNAMA